JANGAN JADI AKAR LAGI!!!
- Street Melody Kedah
- Sep 27, 2019
- 2 min read
Kata orang "tak ada rotan, akar pun berguna". Maksudnya kalau tak ada pilihan utama, pilihan kedua sudah memadai. Itulah yang saya alami sepanjang lebih dua puluh tahun terlibat dalam bidang seni. Sentiasa menjadi akar. Pohonnya tinggi, daun dan buahnya lebat, memberi manafaat kepada semua manusia tetapi akarnya tidak kelihatan kerana tertanam di dalam tanah. Tetapi ramai yang lupa peranan akar. Tanpa akar, adakah rotan boleh tumbuh dan memanjat? Adakah pohon boleh mengeluarkan daun dan buah yang baik tanpa akar yang kuat? Tepuk dada, tanya selera. Selama ini telah berapa banyak masa dan tenaga yang saya bazirkan untuk hanya menjadi akar? Pengorbanan ada batasnya. Mungkin selama ini saya terlalu mengambil pendekatan "biarlah...." hingga akhirnya memakan diri sendiri. Bukanlah maksud saya di sini saya mahu pujian dan sanjungan yang tinggi mahu pun digelar dewa atau sifu dalam bidang seni. Tapi saya memikirkan sampai bila nak berkorban hingga habis beras dan gula di dapur? Saya pasti anda faham maksud saya. Telah beratus karya yang saya hasilkan sama ada dalam bentuk pementasan, skip, treatment projek dan lagu yang saya hasilkan. Tetapi segalanya tidak memberi sebarang pulangan yang setimpal pada saya tetapi menjadi asbab untuk orang lain menikmati buahnya. Letih... Jadi selepas ini saya akan lebih tegas dalam mempertahankan pendirian saya. Saya tidak mahu menjadi setakat akar, tetapi akan terus merimbun dan menghasilkan buah yang banyak. Biar anak dan cucu mendapat hasil yang setimpal dari pengrbanan akar ini.
Waktu tidak akan mengejar kerana ia dijadikan untuk dikejar.
Lima jari guna untuk mencongak bukan sekadar menjemput rezeki.
Sampaikan salam tepat pada waktunya.
Berdiri semasa memimpin bukannya berbaring dan dipimpin.
Nyalakan pelita buat menyuluh pandangan.
Tiba masanya akan terpadam.
Belajar menikmati manisnya delima.
Jangan memagar untuk berlindung.
Siram selalu dengan alunan merdu.
Jangan buka tudung saji takut terbongkar isi hati.
Kongsi buah seiring teman-temanmu.
Jangan menggali lubang sempit buat dirimu berlari.
Biar pucuk menghijau jangan kering dibakar panas mentari.
~ Aku Pon Dunia ~

Comentários