Apabila kerbau bawa lumpur...
- Street Melody Kedah
- Jan 23, 2021
- 4 min read
Semalam kecoh dalam wall personal facebook saya apabila saya post kemarahan saya dengan kejadian yang berlaku pada sahabat-sahabat busker saya di Alor Setar. Apa kan daya, you guys are at the wrong place and at the wrong time. Kena la saman seorang RM1,000.00 akibat tidak mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Tiga orang ahli band telah disaman. Dua telah pun membayar saman tinggal seorang yang saya sangat tersentuh kerana beliau yang saya kenal bukanlah berduit sangat. Terpaksa cari jalan untuk bayar saman. Sabarlah wahai sahabatku.

LUAHAN HATI BUSKER YANG KENA SAMAN
Persoalannya di sini ialah salah siapa? Adakah kerajaan yang bersalah? Pemilik venue yang bersalah? Buskers yang bersalah? Siapa? Persoalan yang saya timbulkan ini harus diteliti. Jangan kita tersilap menuding jari kepada mereka yang tidak bersalah. Kita seharusnya mendengar dan menilai dari setiap sudut. Ada yang tidak berpuas hati dengan apa yang saya tulis di facebook itu. Ramai juga yang menyokong apa yang saya tulis. Saya terima keduanya. Pandai-pandailah anda berfikir dan menilainya sendiri. Baik. Jom kita baca apa sebenarnya yang terjadi dan nilailah dengan kebijaksanaan sendiri. Saya akan buat rentetan yang sedikit panjang. Semoga anda semua sabar membaca. Membaca tu amalan mulia, kan?
Apabila Malaysia dilanda wabak covid-19, banyak sektor yang terjejas. Antaranya adalah industri hiburan. Dipecahkan lagi industri hiburan seperti pusat hiburan, persembahan hiburan, busking dan acara hiburan secara terbuka dan beberapa kategori lagi. Ramai sahabat saya yang bekerja sebagai pemuzik di pusat hiburan di luar Kedah terpaksa pulang ke Alor Setar kerana tempat mereka bekerja tidak dapat beroperasi. Untuk mencari sumber pendapatan mereka terpaksa busking di beberapa tempat yang dibenarkan dengan mengikut SOP yang ditetapkan. Alhamdulillah... Sedikit sebanyak kerajaan memberi kelonggaran buat mereka mencari rezeki dan mereka sudah mulai stabil dari sudut kewangan. Persatuan Kedah Music Art Comunity (K.M.A.C) turut memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan ahli-ahli terjaga dan telah berurusan dengan pihak berkuasa tempatan berkenaan dengan aktiviti busking di Alor Setar. Alhamdulillah... K.M.A.C mendapat kerjasama yang baik dari PBT dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan. Tahniah K.M.A.C!
Dari PKPP sehinggalah PKPB dikuatkuasakan bermula 13 Januari 2021 yang lalu, majoriti busker di Alor Setar mematuhi SOP yang ditetapkan dan masih boleh mencari rezeki dengan aman dan damai. SOP sangat mudah. Tidak melakukan aktiviti busking di tempat yang terbuka secara total. Tidak mengeluarkan bunyi yang terlalu kuat hingga menarik perhatian terlalu ramai orang awam dan berlaku perhimpunan. Tiada interaksi secara langsung dengan pengunjung maksudnya menjaga jarak sosial antara busker dan pengunjung venue. Sangat mudah. Kerajaan masih beri kelonggaran memandangkan mereka faham situasi penggiat seni muzik yang terjejas. Namun akibat kedegilan setengah individu yang melanggar SOP yang ditetapkan telah mengakibatkan PBT terpaksa mengambil tindakan tegas. Walau pun telah ditegur secara baik oleh rakan-rakan busker yang lain berkenaan isu bunyi yang terlalu kuat, namun mereka tetap tidak mengendahkan teguran. Tahukah mereka apa kesannya?
Pada satu malam beberapa hari sebelum PKP dikuatkuasakan di Kedah, ada satu band menjalankan aktiviti busking di satu venue. Sound system yang digunakan amat tidak bersesuaian dengan aktiviti busking. Bunyi yang dihasilkan terlalu kuat dan penyanyi berinteraksi secara langsung dengan pengunjung. Penyanyi turun dari pentas dan menyanyi di celahan tempat duduk pengunjung. Persembahan busking dijalankan di pentas. Apabila di pentas, maka ia jelas berbentuk persembahan hiburan secara langsung. Jelas di situ telah berlaku pelanggaran SOP. Ini menyebabkan PDRM terpaksa mengambil tindakan dengan menyaman pemilik venue dan memberi amaran agar kejadian seperti ini tidak berulang serta meminta pihak pengurusan venue tidak lagi mengadakan aktiviti busking di venue tersebut sehingga diberitahu kelak. Seharusnya pemilik venue memandang serius perkara ini. Jika busker dilihat melanggar SOP, pemilik venue berhak menegur atau menghentikan terus aktiviti busking yang sedang berlangsung. Namun dua hari kemudian, masih ada aktiviti busking dijalankan di venue itu. Kesudahannya busker di saman kerana ingkar arahan. Bukan salah PDRM. Mereka telah pun memberi amaran sebelum itu. Salah siapa? Adakah busker yang bersalah? Busker yang disaman bukanlah kumpulan yang sama seperti hari sebelumnya. Berkemungkinan mereka pun tidak medapat maklumat bahawa PDRM telah mengeluarkan amaran. Seperti yang saya sebut di atas, you guys are at the wrong place and at the wrong time! Anda nilai sendiri.
Implikasi terhadap kejadian tersebut adalah amat berat. Saya jelaskan di sini, saya tak cari makan dengan busking. Tapi saya prihatin dengan sahabat-sahabat saya yang full time busking. Ekoran dari kejadian itu, ada terdengar dari beberapa sumber yang selepas ini syarat untuk aktiviti busking di Kedah MUNGKIN akan diketatkan sedikit. Busker berkemungkinan perlu memohon kebenaran untuk menjalankan aktiviti busking dan juga pemilik venue berkemungkinan perlu membuat permohonan dari PBT. Pemilik venue juga berkemungkinan akan merasa sedikit risau dan terganggu apabila ada penguatkuasaan sebegini. Nak jaga bisnes atau nak jaga buskers? Perihal inilah yang mencetuskan rasa tidak puas hati saya dengan punca kejadian iaitu segelintir yang degil dan tidak mengendahkan teguran. The damage has been done! Ada tak mereka terfikir perbuatan mereka telah mengakibatkan kepayahan kepada orang lain. Ini bukan soal dengki atau tergugat dengan mereka. Jauh panggang dari api. Tetapi soal hormat menghormati. Mereka langsung tidak menghormati teguran dari kawan-kawan lain.
Teguran saya dalam facebook sebelum ini mungkin kasar tapi bagi saya terpaksa berkasar sedikit kalau secara baik tidak diendahkan. Ramai yang menyokong apa yang saya katakan. Saya mendapat maklum balas melalui whatsapp dan panggilan telefon dari semua sahabat pemuzik dan buskers dari seluruh Malaysia termasuk beberapa busker yang terkenal. Terima kasih saya ucapkan pada semua yang memberi maklum balas kepada saya. Mereka sendiri mengharapkan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan menyeru semua busker mengikut SOP yang ditetapkan. Namun pihak yang ditegur masih ingin menunjukkan taring dengan memuat naik posting memprotes apa yang saya katakan. Terpulang. Pada pandangan saya itu hak masing-masing. Cuma saya pesan dimasa hadapan tolonglah dengar teguran dari sahabat-sahabat lain. Mungkin dimata mereka sahabat-sahabat lain tidak sehebat seperti mereka. Saya setuju dengan kata-kata mereka. Ya. Kami memang tidak sehebat kamu semua. Yang kami ada cuma pengalaman.

STATEMENT YANG DI MUAT NAIK OLEH BAND YANG JADI PUNCA
Semoga dari kejadian yang dah berlaku akan dijadikan iktibar buat semua busker dan juga pemilik venue. Kini PKP telah dilaksanakan bermula 22 Januari sehingga 4 Februari 2021. Semoga tidak dilanjutkan. Untuk memudahkan urusan kita, jagalah SOP yang ditetapkan. Jangan kita rasa kita ada kekebalan dari undang-undang. Pihak berkuasa tak akan suka-suka nak ambil tindakan tanpa usul periksa. Janganlah kita bersikap sambil lewa. Semoga selepas ini Allah SWT permudahkan segala urusan dan ringankan beban kepada sahabat-sahabat yang terjejas. Aamiin...
Rujukan SOP untuk anda.
1) SOP PKPB : https://asset.mkn.gov.my/web/wp-content/uploads/sites/3/2021/01/SOP-PKPB-kemaskini-4-Januari-2021.pdf
2) SOP PKP : https://asset.mkn.gov.my/web/wp-content/uploads/sites/3/2021/01/SOP-PKP-SELURUH-MALAYSIA-kemaskini-21-Januari-2021-1.pdf
Comments